MBPP siapkan kertas siasatan


 Georgetown: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sedang menyiapkan kertas siasatan dan tindakan undang-undang terhadap pemilik yang melakukan kerja tanah tanpa kelulusan di atas Bukit Relau di sini.
Tindakan itu membabitkan tanah di atas Lot 274, 275, 276 dan 6621, Mukim 13 yang terletak antara kawasan Jalan Bukit Gambir dan Jalan Paya Terubong.
Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBPP Ir A Rajendran berkata, didapati pemilik tanah terbabit melakukan kerja tanah dan pembinaan struktur jalan tanpa kebenaran MBPP walaupun berstatus tanah persendirian.
Katanya, pemantauan MBPP bersama polis pada 15 April lalu sudah menahan lapan pekerja bagi tujuan siasatan.
IR A Rajendran (kiri) menunjukkan pelan yang terbabit dengan kerja tanah tanpa kebenaran di tapak Lot 274, 275, 276 dan 6621, Bukit Relau, Mukim 13 Daerah Timur Laut, di sini. FOTO Zuhainy Zulkiffli
IR A Rajendran (kiri) menunjukkan pelan yang terbabit dengan kerja tanah tanpa kebenaran di tapak Lot 274, 275, 276 dan 6621, Bukit Relau, Mukim 13 Daerah Timur Laut, di sini. FOTO Zuhainy Zulkiffli
"Notis Mengkehendaki Kerja Tanah Diberhentikan mengikut Seksyen 70A Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 juga sudah dikeluarkan kepada pemilik pada 5 Mac, 14 dan 15 Julai lalu.
"Namun tinjauan semula pada 24 Ogos lalu mendapati tiada sebarang aktiviti dijalankan di situ dan tiada mesin atau jentera di tapak terbabit," katanya yang ditemui ketika mengadakan tinjauan di tapak itu hari ini.
Didapati aras tanah paling rendah di kawasan tapak yang terbabit dengan kerja tanah tanpa kelulusan adalah dalam lingkungan 200 meter dan aras paling tinggi adalah sekitar 350 meter.
Sebahagian tapak berkenaan pula ditanam dengan pokok buah-buahan, membina laluan bersimen dan kerja penstabilan cerun.
Menurut Rajendran, tindakan undang-undang iaitu denda sebanyak RM10,000 pernah diambil terhadap pemilik terbabit pada 2015 berikutan kesalahan yang sama.
Katanya, jika pemilik didapati melanggar undang-undang, boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.
"Sehubungan itu, pemilik tanah menerusi syarikat perunding yang dilantik perlu mengemukakan permohonan bagi pelan mitigasi dan pelan kebenaran merancang kepada MBPP serta agensi terbabit.
"Kemudian keputusan akan dibuat berdasarkan lunas undang-undang sedia ada," katanya.