Sufian Suhaimi Dah Tak Menyampah Orang Panggil Baby Pian
Mengakui pada mulanya rasa kurang senang dengan panggilan Baby Pian yang merujuk pada dirinya, bagaimanapun Sufian Suhaimi berkata dia kini tidak lagi ‘menyampah’ dengan nama panggilan tersebut.
Ujarnya, apabila nama Baby Pian itu menjadi sebutan, dia menganggap ia kombinasi Baby Faeq dan Sufian Suhaimi (Pian) sehinggalah tertubuhnya syarikat Baby Pian Legacy Sdn. Bhd.
“Pada awalnya tidak suka, tetapi bila dah ada Baby Faeq (anak angkat) dan nama Baby Pian tu selalu menjadi sebutan, saya anggap ia kombinasi antara Baby Faeq dan Sufian Suhaimi (Pian) sehinggalah tertubuhnya syarikat Baby Pian Legacy Sdn. Bhd.
“Bagi saya, terpulanglah orang nak anggap macam mana pun dan itu bukannya satu isu. Saya rasa dekat dan gembira dengan nama Baby Pian,” katanya.
Berkongsi lebih lanjut mengenai syarikat berkenaan, Sufian berkata ia adalah syarikat bersama seorang rakan kongsi menjual produk Zikir Pillow yang kini mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan.
“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya agak sibuk apabila lagu Janji dilancarkan pada bulan Februari lalu dan pada masa sama melancarkan Baby Pian Legacy Sdn. Bhd.
“Apabila tiba-tiba PKP, ada banyak masa jadi sepajang tempoh itu kita kaji masalah cari penyelesaiannya. Walaupun baru setahun jagung, sudah banyak peningkatan yang dicapai,” tambahnya.